KUALA LUMPUR: Pelakon, Lufya Omar, 37, seorang selebriti mengakui dia melakukan pembedahan bariatrik atau buang usus sebagai `‘laluan pintas’ untuk menurunkan berat badan sebanyak 27 kilogram (kg) daripada 85kg.
Bagaimanapun, Lufya yang enggan berkongsi kos pembedahan tersebut berkata, keputusan itu bukan untuk tujuan kurus atau cantik.
“Saya buat bukan dengan sebarangan orang, saya cari doktor yang bertauliah.“Kebetulan, doktor yang merawat sudah lama saya kenali. Dia berkaliber dan ada reputasi yang baik. Nak buat pembedahan bariatrik ini bukan perkara main-main, harus ambil tahu setiap perkara,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia semalam bagi mengulas trend terkini semakin ramai individu memilih untuk membuat pembedahan bariatrik sebagai jalan singkat untuk menguruskan badan.
Hasil pembedahan dan pengamalan gaya hidup sihat, berat badan Lufya kini tinggal 58 kg.
“Ramai yang tak tahu saya sebelum ini sebenarnya berdepan dengan masalah obesiti. Ramai juga ingat saya tipu hanya disebabkan mereka nampak muka saya kecil. Walhal, saya memang agak besar dan pemeriksaan doktor juga telah dibuat.
“Disebabkan itu, maka saya buat keputusan untuk lakukan pembedahan bariatrik atas nasihat doktor. Obesiti itu menganggu kesihatan saya dan mendatangkan penyakit pada diri. Jangan fikir saya buat untuk kurus cepat.
“Saya juga tidak akan cadangkan sesiapa saja patut buat. Kena dapat nasihat doktor. Bukan sebab gemuk sikit terus nak buat.Itu bukan pilihan baik.Kalau boleh diet dulu, buat itu dahulu,”katanya.
Selain itu, kata Lufya, selepas lapan bulan menjalani rawatan secara berperingkat, tubuh badannya kini semakin sihat selain masalah asma hilang.
“Bila buat pembedahan ini, kita memang kena jaga makan. Pembedahan tak menyakitkan, tetapi mungkin selepas itu perubahan corak pemakanan kena jaga. Tapi pada saya, baguslah sebab kita boleh makan secara sihat.
“Satu lagi, ada orang rasa malu nak berkongsi mereka buat pembedahan ini. Atas individu apalagi perempuan memang sensitif bab berat badan,” katanya.- UTUSAN










