PETALING JAYA: Lembaga Pengampunan perlu meneliti semula hukuman 2,000 pesalah termasuk pesalah dadah yang disabit gantung sampai mati dengan mengambil kira pertimbangan sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan termasuk meringankan hukuman masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri memberi ampun, menunda dan mengurangkan hukum bagi kesalahan dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan atau negeri masing-masing atas nasihat Lembaga Pengampuan.
Katanya, perkara itu amat penting kerana terdapat pesalah terpaksa melakukan kesalahan kerana masalah kesempitan hidup sehingga mereka terjejak sebagai keldai dadah.
“Pertimbangan itu perlulah mengambil kira punca mereka melakukan kesalahan demikian, mungkin mereka tidak tahu perbuatan itu ataupun terpaksa perbuatan itu kerana kesempitan hidup. Namun pengecualian tidak perlu melibatkan hukuman mati tauke-tauke besar dadah.
“Hampir sebahagian 2,000 pesalah hukuman mati melibatkan hukuman kesalahan mengedar, jadi Lembaga Pengampunan boleh meneliti rayuan-rayuan dengan menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara ini,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan hampir 2,000 pesalah yang ditangguh menjalani hukuman gantung ekoran pelaksanaan moratorium sejak 2018 tidak mengetahui penghujung nasib mereka apabila cadangan untuk mengkaji akta berkaitan hukuman mati sepi tanpa perkembangan.
Ia menyebabkan bilangan banduan akhir yang menanti pelaksanaan hukuman itu bertambah daripada 1,359 orang pada 2018 kepada 2,000 tahun ini.
Penangguhan itu merupakan langkah reformasi perundangan manifesto Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dalam pada itu, Hassan merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak di bawah Perlembagaan berkata, beliau pernah membangkitkan cadangan menghapuskan hukuman mati mandatori ke Parlimen.
“Bukan bermaksud kita perlu menghapuskan hukuman mati secara menyeluruh, tetapi hanya membabitkan mati mandatori kerana situasi itu menyekat pilihan hakim daripada memutuskan hukuman lain selain gantung sampai mati sahaja,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, satu kenyataan berhubung hasil kajian Jawatankuasa Kajian Hukuman Mati yang ditubuhkan PH ketika dahulu akan dikeluarkan apabila tiba masanya.
Sebelum ini, laporan kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Februari lalu untuk pertimbangan dan persetujuan. – UTUSAN