Hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi angkat sumpah

Hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi angkat sumpah 28 Julai

ANWAR Ibrahim (tiga dari kanan) pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dijangka mengangkat sumpah jawatan pada 28 Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pelantikan itu telah melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Katanya, pemilihan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain dilaksanakan berlandaskan sistem semak dan imbang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata, beliau tidak memberikan sebarang kenyataan sejak seminggu lalu kerana menghormati sistem dan prosedur pemilihan yang melalui peringkat sewajarnya.

“Saya nak jawab tak boleh sebab pelantikan hakim membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya dapatkan nama (calon hakim) daripada JAC, timbang, bawa kepada Agong dan bila diperkenan, cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Saya kena berdepan dengan Raja-Raja untuk beri penjelasan, kemudiannya perlu dipersetujui Majlis Raja-Raja, Agong tandatangan dan baru lah saya boleh jawab.

“Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik akan mengangkat sumpah pada 28 Julai nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Seterusnya, Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan hakim yang bakal bersara.

Perdana Menteri berkata, pembangkang bertindak memainkan isu berkenaan, namun kemudiannya bersetuju dengan pengumuman lantikan yang telah dibuat kelmarin.

“Seminggu dia (pembangkang) ‘balun’ kita setengah mati, kata Anwar perosak badan kehakiman, tetapi hakim mana yang saya buang? Hakim mana yang kena pecat? Tak ada.

“Kita terbawa-bawa kerana yang bercakap itu ‘ustaz’, maka kita terima terus. Lepas kita umum, (pembangkang) terus terima keputusan, tetapi minta maaf pun tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN