BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga tempatan ditahan bersama kira-kira 400 liter minyak diesel yang diseleweng dalam satu serbuan ke atas sebuah lori di Taman Permai Jaya, di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, A. Mogan berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat awam.
Menurut Mogan, turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter serta satu unit motor pam yang digunakan untuk menjalankan kerja penyelewengan berkenaan.
“Lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu itu turut disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM22,160,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan seseorang individu itu dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Sementara itu katanya, untuk kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika didapati bersalah.
“Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
“Sehubungan itu, kami (PPDNHEP) ingin mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi ketika ini. –UTUSAN










