KUANTAN: Seorang lelaki yang tular membela ayam dan itik di hadapan rumah serta memasang radio dengan kuat di sebuah taman perumahan di Lorong Permatang Badak di sini dipercayai mempunyai masalah mental.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan polis hari ini.
“Suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial tindakan seorang individu di sebuah Taman Perumahan di Lorong Permatang Badak 30 di sini yang membela ayam dan itik.
Lelaki berkenaan dikatakan turut gemar memasang radio dengan kuat sehingga mengganggu keselesaan dan ketenteraman awam.
Malah lelaki itu dikatakan turut mengancam jiran yang menegurnya dengan parang menyebabkan timbul ketakutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat di situ. – UTUSAN










