Lelaki pandu lawan arus dalam keadaan mabuk ditahan

Lelaki pandu lawan arus dalam keadaan mabuk ditahan polis

KERETA dipandu pemandu mabuk  yang melawan arus di Lebuhraya Persekutuan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas memandu kenderaan secara melawan arus dan dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Persekutuan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.36 pagi.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada 5.50 pagi semasa anggota kereta peronda (MPV) Balai Polis Petaling Jaya menjalankan rondaan cegah jenayah di lebuh raya berkenaan.

“Anggota bertugas mengesan sebuah kereta Perodua Axia dipandu secara melawan arus dan berbahaya sebelum kenderaan itu diarahkan berhenti.

“Pemandunya enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak memecut kereta ke susur masuk Lebuhraya Pantai Baharu (NPE),” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, katanya, cubaan pemandu lelaki berusia 22 tahun itu melarikan diri gagal apabila ditahan anggota polis bertugas di Jalan Klang Lama.

“Suspek dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut. Hasil ujian pernafasan dilakukan mendapati paras alkohol melebihi had ditetapkan.

“Dalam kes ini, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan dilaporkan. Kes  disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45(A)1 akta yang sama,” katanya.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai rakaman papan pemuka yang merakam kejadian itu supaya tampil ke IPD Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd. Sahidun Saiban di talian 011-33340775 untuk tindakan lanjut.

“Polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN