PETALING JAYA: Polis memberkas seorang lelaki disyaki aktif terlibat dalam kegiatan curi kereta di sekitar Lembah Klang di Flat Sri Sabah, dekat sini, kelmarin.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah Cheras kira- kira pukul 3 petang.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas lapan buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Proton Wira, empat Proton Iswara, dua Proton Saga dan sebuah van.
“Siasatan mendapati suspek menyasarkan kereta lama diparkir di tepi jalan bagi kegunaan sendiri sebelum mengambil alatan ganti kenderaan untuk dijual.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan curi kenderaan dan enam rekod dadah selain aktif mencuri kereta di daerah Wangsa Maju, Brickfields dan Teluk Intan, Perak,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Cheras di sini, hari ini.
Tambahnya, saringan ujian air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Suspek direman empat hari bermula semalam di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Idzam berkata, polis mendapati trend jenayah di Cheras cenderung kepada kegiatan mencuri kenderaan sejak 1 Januari hingga 31 Mei lalu.
Ujarnya, dalam tempoh tersebut, polis menerima laporan kecurian sebanyak 157 kenderaan melibatkan 76 kereta, 71 motosikal dan 10 van serta lori.
“Kita telah menuduh seramai 20 individu dan siasatan selanjutnya sedang giat dijalankan bagi membanteras kegiatan terbabit,” katanya. – UTUSAN











