PUTRAJAYA: Langkah pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan sebelum sistem percukaian itu dapat diaktifkan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tempoh itu mengambil kira pelbagai peringkat dan bukannya boleh terus diwartakan begitu sahaja.
“Kita (Kementerian Kewangan) kena bawa dahulu ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan dan selepas itu ke Parlimen untuk beberapa proses dan ini dijangka memakan masa sembilan bulan,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Terlajak Raya anjuran Kelab Media Putrajaya di Glamping @ Wetland, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan kemungkinan GST dilaksanakan semula selepas dimansuhkan Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.
Sistem percukaian itu diperkenal pada 2015 dengan kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang didakwa banyak ketirisan sehingga berlaku kegiatan ekonomi gelap.
Tengku Zafrul memberi gambaran bahawa GST mungkin dihidupkan kembali dengan memberi alasan sejumlah 175 negara atau 90 peratus negara di dunia sudahmelaksanakannya.
“Mesti ada sebab kenapa mereka melaksanakan GST kerana negara yang tidak ada sistem cukai ini melaporkan hasil negara adalah amat rendah termasuk Malaysia sejak tiga tahun lepas,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa kementerian terus mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk mendapatkan input respons lebih tepat.
Ditanya apakah kadarnya mungkin buat permulaan hanya lima peratus sebelum dinaikkan secara berperingkat, beliau bersetuju dan berkata kadar itu pada ketika ini dianggap terlalu rendah.
“Setakat ini ada dua faktor yang diambil kira iaitu kadar baharu perlu lebih baik daripada dahulu dan beberapa pengecualian diberi sebagai insentif bagi meringankan beban kewangan rakyat,” katanya. – UTUSAN