fbpx

Ladang lembap punca ulat serang pokok durian

  SEKUMPULAN pegawai Jabatan Pertanian meninjau ladang durian yang diserang penyakit misteri di Kelantan kelmarin. - IHSAN JABATAN PERTANIAN MALAYSIA

PUTRAJAYA: Penyakit misteri yang menyerang banyak pokok durian di beberapa kawasan di Kelantan, baru-baru ini dipercayai akibat keadaan ladang tanaman tersebut yang lembap.

 Jabatan Pertanian menerusi kenyataan dalam laman sosial rasminya memaklumkan, dapatan itu hasil siasatan awal melibatkan tinjauan dilakukan para pegawai agensi berkenaan kelmarin.

“Kadar peratusan serangan penyakit misteri itu juga didapati adalah berbeza bagi setiap ladang durian yang dipengaruhi oleh keadaan kebersihan tanaman buah berkenaan,” jelasnya.

Baru-baru ini, media melaporkan serangan perosak yang mengakibatkan penyakit misteri terhadap pokok durian di sekitar Jajahan Tanah Merah dan Jeli di negeri Pantai Timur itu. Keadaan tersebut menyebabkan buah itu mudah rosak, gugur sebelum tiba masa, selain kulit menjadi kehitaman serta berulat dan rasa isi duriannya lebih tawar berbanding baka biasa.

Mengulas lanjut, agensi itu mengesahkan tinjauan turut disertai sendiri Pengarah Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria serta pasukan dari Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Negeri ini.

“Kelembapan yang tinggi disebabkan faktor hujan berpanjangan bermula Februari lalu dengan keadaan ini menyebabkan ulat menyerang buah durian tersebut cepat membiak,” katanya.

Katanya, situasi penyakit aneh diburukkan lagi dengan kelemahan sistem pengurusan amalan pertanian baik yang kurang diamalkan oleh segelintir pengusaha ladang durian tersebut.

Beberapa sampel namun telah pun diambil oleh pakar forensik penyakit dan perosak tumbuhan untuk dianalisis di makmal bagi mengetahui punca sebenar serangan penyakit misteri itu. – UTUSAN

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!