KPLB sediakan RM10 juta untuk Program Peningkatan Pendapatan - Utusan Malaysia

KPLB sediakan RM10 juta untuk Program Peningkatan Pendapatan

ABDUL Rahman Mohamad (tengah) bergambar dan beramah mesra bersama sebahagian penerima Bantuan Warung Desa@KPLB dalam Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan Peralatan serta Warung Desa@KPLB Daerah Kuala Muda di Dewan Desa KEDA Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 21 orang usahawan kecil di daerah ini menerima bantuan warung dan peralatan perniagaan menerusi Program WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda yang melibatkan peruntukan sebanyak RM196,417.

Usahawan terlibat yang terdiri daripada kluster makanan dan minuman menerima bantuan tersebut dalam bentuk warung atau kios berharga RM105,000 dan peralatan perniagaan melibatkan perbelanjaan RM91,417.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program WarungDesa@KPLB merupakan antara bantuan yang disalurkan melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menurutnya, usahawan yang menerima bantuan tersebut dipilih selepas dilakukan proses siasatan dan tapis oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk memastikan peserta yang berjaya itu berkelayakan.

“Program ini dilihat memberi impak positif kepada usahawan kecil luar bandar kerana mereka dapat memiliki perniagaan yang lebih kondusif untuk menjalankan perniagaan, selain produktiviti serta pendapatan juga meningkat,” katanya.

ABDUL Rahman Mohamad menyampaikan replika bantuan warung dan peralatan perniagaan pada Program WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda di Kampung KEDA Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, Sungai Petani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan Warung Desa@KPLB Daerah Kuala Muda di Kampung KEDA Tepi Sungai, Kota Kuala Muda di sini semalam.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah KEDA, Datuk Shahanim Mohamad Yusof; Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar Pengurusan KEDA, Afifah Omar.

Pada majlis itu, Abdul Rahman menyampaikan bantuan warung dan peralatan perniagaan kepada usahawan tersebut.

Abdul Rahman juga menyerahkan bakul makanan kepada seramai 96 orang penduduk di Kampung KEDA Tepi Sungai itu.

Beliau memberitahu, pada masa ini, program PPP lebih bertumpu kepada perniagaan secara kecil-kecilan seperti jualan makanan dan minuman serta perkhidmatan seperti jahitan, gunting rambut dan perusahaan spa dan kecantikan wanita.

Tambahnya, masyarakat luar bandar terutama B40 pula melaksanakan bidang pertanian, perikanan dan perternakan.

“KPLB menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10 juta bagi PPP bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar pada tahun ini.

“Peruntukan tersebut melibatkan sasaran bilangan penerima bantuan seramai 950 peserta dari seluruh negara.

“Selain itu, KEDA pula mendapat peruntukan sebanyak RM800,000 dalam melaksanakan PPP pada tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga burger, Nazri Ishak, 48, dari Tikam Batu berkata, kios burger yang dibeli lebih 10 tahun lalu telah rosak selepas tidak dapat berniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2021.

Menurutnya, dia gembira apabila dipilih oleh KEDA untuk menerima bantuan di bawah Program WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda.

“Menerusi bantuan tersebut, saya diberikan sebuah kios dan peralatan perniagaan burger yang baharu untuk kemudahan saya berniaga,” katanya.

Peniaga gerai makanan dan minuman, Suhaida Mohamad, 44, dari Pantai Merdeka pula berkata, dia akan memanfaatkan sepenuhnya bantuan kios dan peralatan perniagaan untuk menambah pendapatan.

Katanya, dia mengharapkan pendapatannya meningkat apabila dapat menambah jenis makanan untuk dijual selepas ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KPLB dan KEDA yang memilih saya sebagai penerima bantuan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN