Koperasi pemborongan, peruncitan berdaya tahan semasa pandemik - Utusan Malaysia

Koperasi pemborongan, peruncitan berdaya tahan semasa pandemik

MOHD. Firdaus Shaari (dua dari kanan) melihat poster HKN Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan di Banda Hilir, Melaka pada 10 hingga 12 Jun ini. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Koperasi yang terlibat dalam aktiviti pemborongan dan peruncitan di negeri ini kekal berdaya tahan dan menerima impak yang minimum daripada pandemik Covid-19.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mohd. Firdaus Shaari berkata, jumlah perolehan terkumpul koperasi setakat Disember 2021 meningkat sebanyak 48 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, ekonomi kendiri koperasi tidak tergugat meskipun negara masih berada dalam fasa pandemik tahun lalu.

“Kita boleh cipta ekonomi kendiri dalam tempoh tersebut. Buktinya koperasi berjaya mencatatkan peningkatan perolehan terkumpul daripada RM84 juta pada 2020 kepada RM124 juta pada tahun lepas. Bagaimanapun, terdapat juga gerakan koperasi yang menerima kesan langsung Covid-19 terutama yang menjalankan aktiviti seperti inap desa, hotel bajet, pengangkutan, restoran dan lain-lain aktiviti yang bergantung kepada kehadiran orang ramai.

“SKM Melaka telah menyalurkan dana insentif kewangan berjumlah hampir RM6.8 juta yang terdiri daripada dana bantuan dan pembiayaan kepada koperasi yang terkesan dan layak memohon,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran mini Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri 2022 di sini.

HKN Melaka 2022 akan diadakan pada 10 hingga 12 Jun ini di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah zumba, kuiz agensi, pertandingan nyanyian kanak-kanak dan gerai jualan harga patut koperasi.

Sementara itu, mengenai kesedaran koperasi dalam kalangan masyarakat, Mohd. Firdaus berkata, SKM negeri giat menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak seperti badan pelancongan dan pertanian untuk mempromosikan koperasi kepada golongan sasar.

Katanya, masyarakat yang tidak memahami fungsi dan peranan koperasi sememangnya tidak akan berminat, melainkan mereka didedahkan dengan kepentingan koperasi.

“Kesedaran masyarakat terhadap koperasi memang ada dan kita dapat lihat menerusi permohonan untuk menubuhkan koperasi. Masyarakat datang sendiri kepada kami untuk menubuhkan koperasi. Tahun lalu kami menerima lebih kurang 40 permohonan untuk menubuhkan koperasi dan sebanyak 30 telah didaftarkan. Tahun ini kami sasarkan sebanyak 66 permohonan dan separuh daripada jumlah itu akan didaftarkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN