PETALING JAYA: Pemansuhan hukuman penjara sepanjang hayat kini dalam perancangan kerajaan agar digantikan dengan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan keperluan dan keadaan pada masa kini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menambah, pemansuhan itu merupakan antara syor Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum.

Jelasnya, buat masa ini pemansuhan hukuman mati mandatori adalah langkah awal kerajaan sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.
“Bukan lagi kajian (menghapuskan hukuman penjara sepanjang hayat) tetapi kini dalam perancangan kerajaan apabila kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.
“Namun fokus kita adalah hukuman mati mandatori, yang memerlukan penelitian membabitkan beberapa aspek pindaan undang-undang,” katanya.
Kelmarin, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman mencadangkan hukuman penjara sepanjang hayat perlu dihapuskan dan diganti dengan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan keperluan dan keadaan pada masa kini.
Hal ini kerana hukuman sepanjang hayat tiada tarikh bebas melainkan mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertuan Negeri di mana kesalahan dilakukan.
Selain itu katanya, hukuman tersebut juga tidak lagi sesuai dan melanggar prinsip hak asasi manusia di samping kejam berbanding hukuman mati mandatori.
Sementara itu, pakar perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood memberitahu, nasib pesalah hukuman mati dan penjara bergantung sepenuhnya kepada Lembaga Pengampunan seperti mana diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun jelasnya, mereka berhak dapat hukuman lain setelah Yang di-Pertuan Agong, raja dan Yang Dipertua Negeri memberi ampun terhadap kesalahan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan negeri masing-masing di atas nasihat Lembaga Pengampuan.
“Bagi orang kena tuduh membabitkan 11 kesalahan hukuman mati mandatori yang baharu dituduh atau sedang dibicarakan pula, kerajaan perlu mewujudkan satu akta dan mekanisme khusus untuk melihat transisi kepada hukuman gantian lain.
“Soalnya sekarang apa hukuman gantian yang disebutkan Menteri semalam, itu belum diputuskan kerana kajian khusus akan dilakukan berkaitan cadangan hukuman itu,” katanya.
Sebelum ini Wan Junaidi memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori membabitkan 11 kesalahan dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah.
Terdapat 11 kesalahan hukuman mati mandatori antaranya Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh), Seksyen 121A Kanun Keseksaan (Kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN








