Kerajaan beri tunai RM100 seisi rumah, RM50 bujang  - Utusan Malaysia

Kerajaan beri tunai RM100 seisi rumah, RM50 bujang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan bantuan tunai tambahan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup terutama ketika kerajaan tidak lagi memberikan subsidi ayam, telur dan harga barang makanan lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyediakan bantuan tunai itu kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sebanyak RM100 untuk seisi rumah dan RM50 untuk golongan bujang. 

“Ini mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini,” katanya semasa sidang akhbar khas yang ditayangkan menerusi televisyen kerajaan hari ini.

Beliau berkata, setiap penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 pula akan menerima bayaran bantuan tambahan RM100, menyaksikan kesemua penerima BKM yang layak mendapat bantuan tunai berjumlah RM500 untuk Fasa 2 berbanding RM400 sebelum ini.

Jelasnya, bantuan tambahan yang dibayar adalah bersekali dengan bayaran bantuan Fasa 2 melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta.

Katanya, penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

“Pembayaran ini bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutama dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

“Ini juga akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi empat juga isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang,” katanya.

BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

Seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun ini dan ia merupakan yang tertinggi pernah diberikan kerajaan setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN