Kementerian Pertahanan akan percepatkan perolehan aset tentera

Kementerian Pertahanan akan percepatkan perolehan aset tentera

HISHAMMUDDIN Tun Hussein turut menguji sebuah kenderaan tempur dalam Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 yang diadakan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, Negeri Sembilan, hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Kementerian Pertahanan tetap komited dalam usaha mempercepatkan perolehan aset-aset baharu dalam memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilengkapi aset yang diperlukan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kehadiran aset-aset baharu pastinya akan meninggikan moral dan meningkatkan semangat anggota tentera, oleh itu pihaknya akan melakukan yang terbaik dalam perkara tersebut.

“Selagi saya Menteri Pertahanan, kami akan buat apa sahaja bagi memastikan, moral mereka tinggi dan semangat mereka kuat dan insya-Allah apa yang mampu kita lakukan dari apa juga aspek.

End user (tentera) yang akan gunakan aset-aset ini, wajar mereka ini menentukan apa aset-aset yang diperlukan dan sekiranya kita mampu dalam konteks kewangan negara, Kementerian Pertahanan akan mempercepatkannya, itu adalah proses yang saya umumkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 yang diadakan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini hari ini.

Yang hadir sama, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain untuk memastikan kesiapsiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara, LKT 2022 juga bertujuan memberi peluang kepada ATM khususnya Tentera Darat Malaysia menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keupayaan aset mereka pada masa akan datang.

“Ia bukan sahaja penting bagi menguji pengurusan pasukan serta keupayaan dan kompetensi anggota dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup, malah ia juga medan terbaik untuk memperagakan keupayaan anggota Tentera Darat Malaysia dalam mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan yang canggih serta terkini secara profesional sebagaimana latihan yang diberikan,” kata beliau.

Sementara itu, seramai 2,300 orang pegawai dan anggota dari pelbagai kepakaran serta 644 pelbagai jenis kenderaan tempur, kenderaan sokongan terlibat dalam LKT 2022 yang berlangsung selama dua jam itu.

Latihan yang melibatkan segmen dinamik dengan pelaksanaan maneuver dan kuasa tembakan yang melibatkan aset infantri, mekanize, armour, artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), pesawat udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN