Kembali subsidi minyak bantu nelayan C2 tingkat tangkapan ikan

Kembali subsidi minyak bantu nelayan C2 tingkat tangkapan ikan

BOT nelayan kelas C2 menjadi penyumbang terbesar tangkapan ikan dalam negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta menimbang semula pemberian subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C2 kerana golongan tersebut adalah penyumbang terbesar tangkapan ikan dalam negara berbanding kelas-kelas lebih kecil yang menerima keistimewaan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Hamid Bahari berkata, bot-bot C2 memerlukan tidak kurang daripada RM45,000 untuk minyak diesel bagi 10,000 liter berbanding minyak yang diberi subsidi yang mana ia jauh lebih murah untuk nelayan kategori lain.

Kataya, harga seliter minyak diesel RM4.70 seliter berbanding bot kelas A, B dan C iaitu pengusaha-pengusaha bot tersebut mendapat minyak subsidi pada RM1.65 seliter.

“Kalau kerajaan beri subsidi kembali kepada nelayan C2, saya amat yakin dalam masa terdekat keadaan bekalan ikan dalam negara kembali pulih secepat mungkin.

“Ia terjadi kerana halangan dihadapi oleh nelayan-nelayan C2 yang pada dasarnya penyumbang besar dalam membantu bekalan ikan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) merangka beberapa strategi jangka panjang termasuk memperkasa industri input kepada makanan ternakan alternatif serta pemodenan dan digitalisasi sistem makanan.

Bagi strategi jangka pendek pula, ini termasuk memperkasa program kebuniti termasuk kempen makan ikan air tawar seperti keli, tilapia, lampam sungai dan udang galah bagi menggalakkan konsumer mengetahui resipi dan jenis makanan yang sesuai.

Hamid berkata, kerajaan perlu merangka strategi bagi menjamin bekalan ikan dalam negara dapat memenuhi permintaan masyarakat ketika musim ‘kemarau’ sumber protein itu.

Katanya, negara perlu penambahbaikan dari segi memastikan bekalan makanan terjamin terutama melalui penambahan ikan.

“Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kepada Nekmat atau mana-mana sahaja usahawan yang perlu diketengahkan bagi mengimbangi masalah bekalan ikan dalam negara seperti ketika ini.

“Kita boleh lakukan proses pembekuan ikan secara individual quick freezing (IQF) iaitu sejuk bekukan ikan ketika musim lambakan untuk simpan stok dan dinyahbekukan semasa musim ikan berkurangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN