Keluarga kanak-kanak mati disengat tebuan mahu ambil tindakan undang-undang

Keluarga kanak-kanak mati disengat tebuan mahu ambil tindakan undang-undang

MOHD. Khalid Omar menunjukkan tempat kejadian tiga anaknya disengat tebuan di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Ahli keluarga kepada kanak-kanak berusia lima tahun yang meninggal dunia akibat disengat tebuan pada Ahad berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab dengan kejadian itu.

Bapa mangsa, Mohd. Khalid Omar, 40, berkata, insiden malang itu berpunca daripada kecuaian individu serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal memastikan keselamatan penduduk.

Menurutnya, pelantar jeti usang yang dibiarkan sejak empat tahun lalu di kawasan taman permainan telah menjadi sarang haiwan berbisa sekali gus membahayakan nyawa penduduk.

“Pelantar jeti itu tidak sepatutnya berada di situ kerana sering menjadi tempat tumpuan riadah banyak keluarga selain terletak bersebelahan gelanggang futsal dan taman asuhan kanak-kanak (Taska).

“Keadaan itu menyebabkan naik semak samun di sekitar pelantar jeti dan selain sarang tebuan, penduduk mendakwa pernah terlihat kelibat anak ular tedung sehingga ke kawasan padang.

“Saya harap kejadian menimpa arwah anak tidak berulang dan menjadi pengajaran. Kami sekeluarga masih berbincang untuk menggunakan saluran undang-undang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, Eidrish Mohd. Khalid, 5, meninggal dunia setelah terkena lebih 60 sengatan tebuan tanah yang bersarang di pelantar jeti usang terbabit ketika bermain bersama dua kakaknya di hadapan rumah datuk mereka di Kampung Tok Jembal di sini.

Kakak mangsa, Nur Aiyris Dania, 7, dan Nur Adelya, 10, kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan dalam keadaan baik dan beransur pulih.

Sebelum kejadian, Mohd. Khalid serta isteri dan lima orang anaknya sedang dalam persiapan untuk pulang ke Ipoh, Perak selepas tiba di Terengganu sejak Sabtu lalu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya