Kedah semakin diyakini pelabur

Kedah semakin diyakini pelabur

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat ke Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairong Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah berada dalam landasan yang betul untuk terus berkembang dan menikmati kemajuan dari segi ekonomi apabila nilai pelaburan yang diluluskan ke negeri ini sudah mencecah RM20 bilion menjelang suku kedua tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, angka tersebut juga mengatasi sasaran Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu sebanyak RM10 bilion.

Selain itu, antara indikator yang dibanggakan Kedah dalam sektor ekonomi adalah menerima pelaburan dengan nilai yang diluluskan sebanyak RM68.3 bilion pada tahun lalu yang jauh mengatasi negeri-negeri lain yang sedia maju dan dikenali sebagai negeri industri.

“Patik selaku Ketua Eksekutif kerajaan Tuanku bertuah berada di bawah naungan dan tunjuk ajar Tuanku dan dengan itu patik bersama seluruh anggota kerajaan serta pegawai-pegawai tadbir berikrar akan terus bekerja keras berusaha membawa kemakmuran dan kesejahteraan dalam kehidupan seluruh 2.3 juta rakyat Tuanku.

“Semua titah Tuanku Sultan akan sentiasa dijunjung dengan penuh iltizam dan istiqamah demi memastikan perjalanan urus tadbir kerajaan sentiasa patuh pada arah tuju sebagaimana yang dititahkan Tuanku,” katanya ketika berucap sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang ke-80, hari ini.

Terdahulu, Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairong Seri, Istana Anak Bukit, di sini.

Tambah Muhammad Sanusi, keyakinan komuniti pelabur itu juga adalah cerminan kepada nilai integriti yang sentiasa diberikan penekanan dalam setiap peringkat urus tadbir kerajaan negeri.

Katanya, Kedah disifatkan sebagai ‘negeri tempat untuk orang miskin berteduh dan negeri untuk orang kaya berbakti’ di mana dalam konteks itu, pelabur atau sesiapa sahaja termasuk agensi kerajaan Persekutuan diumpamakan seperti ‘orang kaya’ yang datang untuk berbakti di Kedah.

“Segala projek pembangunan atau bantuan yang mereka bawa, termasuk peluang kerja dan perniagaan yang ditawarkan melalui pelaburan mereka, kita terima dengan berbesar hati. Apa yang paling mustahak bagi kerajaan Tuanku adalah segala manfaat dan peluang itu mengutamakan rakyat jelata,” katanya.

Namun, kata Muhammad Sanusi, pemuliharaan khazanah alam semula jadi kekal sebagai agenda utama kerajaan dan komitmen itu akan diterjemahkan dengan memastikan setiap usaha pembangunan tidak mendatangkan impak negatif terhadap kelestarian alam sekitar dan pematuhan undang-undang demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

Dalam aspek keselesaan rakyat, beliau berkata, usaha memastikan masalah bekalan air terawat tidak akan terus membebankan rakyat melalui teras kedua Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu Kecemerlangan Infra dan Utiliti.

“Antaranya menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Pelubang, Bukit Selambau, Lubuk Buntar Lama, Jenun Baru dan Sungai Limau yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2024 selain mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil yang sekarang mencecah hampir 50 peratus kepada 25 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya