GEORGETOWN: Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang meningkat sehingga 22 kali ganda sejak awal tahun ini sehingga minggu pertama bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agrotech dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, sehingga awal bulan ini, jumlah kumulatif kes HFMD yang dilaporkan adalah sebanyak 3,990 kes berbanding hanya 176 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik Covid-19) dengan kes sebanyak 1,727, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3 kali ganda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norlela, sebanyak 119 kluster HFMD dilaporkan berbanding hanya tujuh kluster dilaporkan tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 16 kali ganda.
Jelas beliau, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun iaitu sebanyak 3,357 kes (88.65 peratus) diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 377 kes (9.45 peratus) manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 256 kes (1.9 peratus).
“Kementerian Kesihatan menasihati semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika perlu sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak
“Pengusaha dan pengasuh di taska juga perlu membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD,” katanya.
Tambah beliau, kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan.
Dalam masa ujarnya, pengusaha juga perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain.
“Semua pihak juga perlu sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit termasuk penyakit Covid-19 seperti memakai pelitup muka dan mengehadkan pergaulan rapat,” katanya. – UTUSAN









