BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 431 kilogram (kg) karkas babi yang dipercayai tidak disembelih di rumah sembelihan yang dilulus atau dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang dirampas dalam dua pemeriksaan awal pagi tadi.
Pengarah JPV negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, rampasan pertama dibuat kira-kira pukul 2.35 pagi di tepi jalan selepas plaza tol Kubang Semang menghala ke Kulim di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), di sini.
Katanya, sebanyak 264kg karkas babi bernilai RM20,500 dirampas dalam serbuan itu di bawah Kaedah 5 (3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
“Rampasan kedua pula iaitu atas kesalahan yang sama dibuat di tepi jalan di Kilometer (KM) 132.6, Lebuhraya Sungai Dua (arah selatan). Dalam rampasan itu, sebanyak 167kg karkas babi bernilai RM43,000 dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat JPV negeri, di Bukit Tengah di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Penguat Kuasa Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin dan Ketua Bahagian Regulatori. Dr. Tishrin Muhammad Ismail.
Dr. Saira Banu berkata, ini adalah kes pertama yang berlaku di Pulau Pinang selepas kerajaan negeri menguatkuasakan perundangan itu bermula 1 Mei lalu.
“Di Pulau Pinang, terdapat lima buah rumah penyembelihan babi dan tiga rumah penyembelihan ruminan yang dilesenkan selain sebuah rumah sembelih ruminan yang diluluskan. Pada masa sama, seramai 11 orang MI (pemeriksa daging) turut dilantik oleh kerajaan negeri untuk memeriksa daging di kesemua rumah sembelihan itu secara bergilir-gilir,” katanya.
Tambah beliau, pemantauan berterusan akan digiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan karkas yang dipasarkan adalah selamat untuk makanan manusia.
“Karkas babi yang dirampas ini akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut dan kita juga akan memohon perintah mahkamah untuk melupuskannya selepas ini,” katanya. – UTUSAN










