ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan mengaktifkan Jawatankuasa Pelaburan Johor sebagai platform komunikasi dan perkongsian informasi dengan jabatan dan agensi kerajaan serta organisasi korporat dan swasta bagi menyelesaikan isu dihadapi pelabur di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, langkah itu diambil bagi merancakkan semula sektor ekonomi pasca pandemik Covid-19.
Menurutnya, mesyuarat pertama Jawatankuasa Pelaburan Johor telah diadakan pada 9 Jun lalu bagi merancang misi galakan pelaburan dalam dan luar negeri untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini.
“Jawatankuasa ini akan memainkan peranan bagi menjalankan pelbagai inisiatif untuk menarik lebih banyak pelaburan, khususnya yang berimpak tinggi dan berteknologi tinggi melibatkan industri halal mahupun industri kreatif.
“Beberapa siri perjumpaan telah diadakan bersama-sama pemain industri dalam usaha mengenal pasti permasalahan dihadapi pelabur, seterusnya mengambil tindakan proaktif dan pragmatik,” katanya semasa menjawab soalan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) tentang nilai pelaburan dan inisiatif kerajaan negeri menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan utama pelabur pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Ting Han, sepanjang tahun lalu, Johor telah merekodkan pelaburan berjumlah RM6.594 bilion yang terdiri daripada RM3.106 bilion pelaburan domestik (DDI), manakala RM3.848 bilion pelaburan asing (FDI).
“Pelaburan itu adalah hasil daripada sejumlah 134 projek yang telah diluluskan kerajaan Johor sepanjang tahun lalu,” jelasnya. – UTUSAN










