fbpx

Keadaan jantung saya juga kini tinggal 10 peratus sahaja lagi – Bob Lokman

bob lokman
BOB LOKMAN

PETALING JAYA: Penulis lirik dan pelakon terkenal, Bob Lokman, 58, berkata, tahap penggunaan jantungnya kini hanya tinggal 10 peratus.

Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd. Hakim Lokman berkata, pada waktu ini dirinya hanya bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

“Saya kini berada di rumah dan tidak berapa sihat. Keadaan jantung saya juga kini tinggal 10 peratus sahaja lagi.

“Selagi bateri ini tidak mati, selagi itu saya bernafas. Apabila sudah sampai ajal, habislah. Tunggu waktu sampai sahajalah.

“Selagi sempat, selagi itulah kita mencari kesempatan untuk menjadi lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bok Lokman berkata, dia perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan sekali bagi memantau tahap kesihatannya selain bergantung kepada ubat-ubatan diberikan hospital.

Pelakon itu bagaimanapun menitipkan kesyukuran dan hanya berserah kepada keajaiban kepada kuasa tuhan terhadap dirinya.

“Rawatan susulan di hospital untuk berjumpa doktor memang ada iaitu tiga bulan sekali. Jantung ini seperti bateri, walau setiap hari cas pun, makin lama makin kurang juga.

“Itulah, kita boleh jangka apa, ia sentiasa berjalan dan bergerak. Badan pula gemuk, banyak yang tidak sihat. Jantung tidak kuat, namun perlu banyak juga menggunakan jantung.

“Tidur pakai jantung, makan dan buang air pun pakai jantung. Jadi, semakin teruk jantung itu. Tidak boleh nak jangka apa, cuma bersyukur sahaja. Selagi ada umur, saya bersyukur sahaja,” katanya.

Pelakon filem Iskandar itu menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, sejak 1 Oktober tahun lalu, berikutan jantung pada bahagian atas tidak berfungsi dengan baik.

Pada April lalu, Bob Lokman terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ([email protected]) di Kuantan, Pahang ekoran kesihatannya kembali menyusut akibat masalah buah pinggang. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN