fbpx

Isu mi segera perisa daging babi, penganjur program derma darah mohon maaf

MI segera yang tidak halal dijadikan hadiah cenderamata ketika program derma darah di sebuah pusat beli-belah di Batu Pahat, Johor kelmarin.

BATU PAHAT: Penganjur program derma darah  di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini memohon maaf berhubung isu pemberian beg cenderamata mengandungi mi segera berperisa daging babi sehingga menimbulkan kekecohan kepada penerima beragama Islam.

Pengerusi jawatankuasa pengelola program berkenaan, Lou Kok Meng berkata, pihaknya sedia bertanggungjawab dan mengakui perkara itu sememangnya tidak disengajakan.

“Penganjur mengambil maklum mengenai perkara itu dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Wakil kami juga sudah ke Bahagian Pengurusan Pentadbiran Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk memberi penjelasan mengenai kejadian itu,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika ini pihaknya hanya mampu memohon maaf kepada orang ramai terutama kepada pengunjung yang datang menderma darah dalam program berkenaan dan akan memperbaiki keadaan.

Terdahulu, polis daerah ini membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes pemberian cenderamata mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi ketika program derma darah di sebuah pusat beli-belah di sini. –UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!