Isu bantuan veteran ATM libat banyak kementerian

Isu bantuan veteran ATM libat banyak kementerian

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menegaskan, isu bantuan kepada golongan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan hanya berada di bawah kementeriannya, tetapi melibatkan kementerian lain.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini berikutan isu bantuan kepada golongan veteran itu turut membabitkan kewangan negara. 

Katanya, pihaknya bagaimanapun tetap memahami isu yang dihadapi golongan veteran dan sentiasa berusaha membela nasib mereka.

“Usaha kita membela nasib veteran adalah berterusan, jadi apa yang saya umumkan ketika ulang tahun ke-100 Persatuan Veteran ATM (PVATM) baru-baru ini, akan kita teruskan. Apa yang saya ucap pada majlis berkenaan, saya tetap pegang ia sebagai satu perkara yang kita tidak kompromi. 

“Jika  kita hari-hari hendak berdebat mengenai benda yang tidak ada kesudahan, ia tidak akan membantu mencari penyelesaian. Yang penting ialah kita kena cari penyelesaian.

“Kadangkala ini tidak hanya berkisar kepada kemampuan MINDEF (Kementerian Pertahanan). Jika ia ada berkait rapat dengan kemampuan kewangan negara, itu semua membabitkan banyak kementerian dan ramai Menteri. Kalau dia nak debat, baik debat dengan Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan ratusan veteran yang berhimpun di Tugu Negara, Isnin lepas. 

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk berjumpa dan berbincang terutama isu berkaitan hal ehwal veteran.

Katanya, beliau secara peribadi juga memberi perhatian secara langsung kepada agenda veteran terutama selepas menjadi Menteri Pertahanan buat kali kedua. 

“Tetapi saya harap semua pihak kena faham bahawa ia tidak berkisar kepada apa yang boleh kita lakukan di MINDEF. Ia membabitkan kedudukan negara, Jabatan Perkhidmatan Negara.

“Tetapi apa yang boleh kita umum, kita umum seperti saya umumkan mengenai dua perkara (pembayaran pencen terbitan kepada balu dan penubuhan panel penasihat bagi mengiktiraf bekas tentera) yang saya janjikan masa ulang tahun PVATM ke-100 baru-baru ini.

“Jadi ini perkara yang sentiasa dalam radar kita dan bila kita sudah selesaikannya, kita akan mengumumkannya,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN