PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.
“Kami jangka harga siling ayam akan naik selepas 30 Jun ini berbanding RM8.90 sekilogram ketika ini tetapi pihak industri memberi jaminan harganya tidak akan naik terlalu mendadak.
“Saya dimaklumkan oleh pihak industri bahawa harga siling ayam sekilogram akan berlegar sekitar RM10 sekilogram. Saya tidak berani sahkan berapa harganya nanti kerana bila harga kawalan ditarik, harga akan diapungkan ikut pasaran.
“Bagaimanapun, kami bagi jaminan kenaikan harga ayam tidak akan naik mendadak tapi jika ia berlaku, kami akan pantau dan gunakan peraturan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama pemain industri di sini hari ini.
Katanya, sebelum ini, kerajaan telah mengawal harga siling ayam dan telur ayam bagi membantu meringankan kenaikan harga barangan, namun tindakan itu menyebabkan herotan pasaran dan harga.
Dalam pada itu, Alexander berkata, kerajaan masih meneruskan subsidi minyak masak polibeg pada harga RM2.50 sekilogram untuk semua pengguna di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol 2kg, 3kg dan 5kg tidak diteruskan mulai 1 Julai ini dan ia akan ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia.
“Sebelum ini, kerajaan menanggung kira-kira RM20 juta sebulan bagi menampung subsidi minyak masak tulen botol berkenaan,” katanya.
Ditanya sama ada peniaga akan mengambil kesempatan menyorok bekalan ayam, minyak dan telur demi mengaut keuntungan selepas 30 Jun ini, Alexander berkata, pihaknya akan memantau perkara itu.
Ditanya juga sama ada subsidi tepung akan dimansuhkan, beliau berkata, subsidi barangan itu masih diteruskan ketika ini dan ia tidak dimansuhkan.
Sementara itu, Alexander berkata, menerusi sesi libat urus sama, semua pemain industri memberi komitmen untuk membantu kerajaan dalam memastikan pengguna mendapat harga barangan berpatutan dan bekalan lebih stabil.
“Kerajaan sangat prihatin dengan situasi dihadapi pengguna ketika ini dan akan berusaha membantu meringankan beban dihadapi rakyat,” katanya. – UTUSAN