Pengilang peluru berpandu terbesar Eropah bekal komponen bom digunakan Israel di Gaza - Utusan Malaysia

Pengilang peluru berpandu terbesar Eropah bekal komponen bom digunakan Israel di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Siasatan bersama oleh The Guardian, Disclose dan Follow the Money mendedahkan komponen buatan pengeluar peluru berpandu terbesar Eropah, MBDA digunakan dalam bom yang dilancarkan Israel di Gaza.

Komponen tersebut dikenali sebagai Diamond-Backs dihasilkan di kilang MBDA di Alabama, Amerika Syarikat (AS) dan dipasang pada bom jenis GBU-39, bom berpandu seberat 113 kilogram yang dibangunkan oleh syarikat Boeing.

Bahagian ini membolehkan bom itu bergerak secara aerodinamik ke arah sasarannya ketika berada di udara.

Bom GBU-39 dihantar ke Israel melalui program bantuan ketenteraan AS, dibeli terus daripada Boeing dan juga dipindahkan dari stok ketenteraan AS.

Sejak perang di Gaza bermula pada Oktober 2023, dianggarkan sebanyak 4,800 bom GBU-39 telah dihantar ke Israel.

Analisis sumber terbuka menunjukkan bom ini digunakan sekurang-kurangnya 24 kali dalam serangan yang menyebabkan kematian orang awam, termasuk kanak-kanak.

Serangan tersebut kebanyakannya berlaku pada waktu malam dan menyasarkan lokasi perlindungan seperti bangunan sekolah, kem pelarian dan masjid. Sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam kes yang dikenal pasti, termasuk lebih 100 kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amnesty International menyuarakan kebimbangan bahawa beberapa serangan melibatkan GBU-39 mungkin memenuhi definisi jenayah perang.

“Pihak yang melancarkan serangan mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kecederaan atau kematian orang awam walaupun terdapat sasaran ketenteraan di lokasi berkenaan termasuk dengan tidak menyerang kawasan yang dipenuhi orang awam,” kata penyiasat kanan Amnesty International, Donatella Rovera kepada The Guardian.

Tahun lalu, Setiausaha Luar UK, David Lammy telah menggantung beberapa lesen eksport senjata ke Israel kerana kebimbangan bahawa peralatan buatan UK boleh digunakan untuk melakukan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN