Mahkamah Perancis batal larangan burkini selepas wanita diugut dikenakan denda - Utusan Malaysia

Mahkamah Perancis batal larangan burkini selepas wanita diugut dikenakan denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Mahkamah pentadbiran di Marseille membatalkan larangan pemakaian burkini di sebuah pantai di French Riviera selepas polis mengugut seorang remaja dan keluarganya dengan denda kerana memakai pakaian renang Muslim itu, lapor The Times pada Khamis.

Bandar tepi laut Carry-le-Rouet telah menguatkuasakan larangan tersebut sejak Jun 2024, namun mahkamah mendapati tindakan itu sebagai pelanggaran serius dan tidak sah terhadap kebebasan asas susulan insiden yang berlaku.

Larangan tersebut tidak banyak diberi perhatian sehinggalah pada 2 Julai, apabila seorang wanita Muslim berusia 18 tahun dari bandar Marseille mengunjungi pantai tersebut.

Dua pegawai majlis perbandaran yang ternampak wanita itu berada di laut telah meniup wisel dan mengarahkan dia keluar dari air.

Apabila keluarganya bertanya apakah kesalahan yang dilakukan, pegawai terbabit menyatakan pakaian wanita itu tidak boleh diterima, menurut abangnya, Islan.

Polis kemudiannya memanggil bantuan sebelum lima orang polis bersenjata tiba dan mengugut akan mengenakan denda jika wanita itu dan keluarganya tidak meninggalkan kawasan pantai.

Islan berkata keluarganya akhirnya beredar.

“Adik saya sangat terkesan. Dia kini takut untuk keluar rumah, tidak bercakap dengan orang lain dan enggan berbicara tentang apa yang berlaku,” katanya.

Insiden ini mendorong Liga Hak Asasi Manusia untuk membawa kes itu ke mahkamah dan berjaya mendapatkan perintah untuk membatalkan larangan burkini tersebut.

Sepanjang dekad lalu, kira-kira 20 bandar dan bandaraya di pesisir Perancis termasuk Cannes, telah cuba mengharamkan pakaian renang Muslim atas alasan sekularisme, namun hampir semua larangan itu telah ditolak atau dibatalkan kemudian.

Pada 2004, Perancis mengharamkan pemakaian tudung Muslim di sekolah selepas ahli parlimen menyatakan bahawa pakaian itu bertentangan dengan nilai sekular sistem pendidikan negara. Niqab dan burqa pula diharamkan di tempat awam pada 2011 atas alasan keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×