Harga siling ayam RM9.40 sekilogram - Utusan Malaysia

Harga siling ayam RM9.40 sekilogram

Mulai 1 Julai ini harga siling baharu ayam RM9.40 sekilogram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard RM9.40 sekilogram sementara te­lur naik dua sen bagi setiap gred berkuat kuasa mulai esok.

Pada masa sama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakob turut mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat Malaysia menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Pasukan khas tersebut akan berfungsi sebagaimana pasukan yang menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

Ia untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan.

Menurut beliau, pasukan khas itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan dianggotai Menteri Kewangan,

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Pegawai rujukan

Kata Perdana Menteri, pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sementara itu, Ronald ketika mengumumkan harga siling baharu ayam bekata, ia menyaksikan kenaikan 50 sen daripada harga siling ketika ini RM8.90.

Katanya, harga siling runcit telur ayam pula 45 sen/biji bagi gred A, gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji).

“Harga siling baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Julai seperti diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
“Dengan pelaksanaan ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta bagi penetapan harga siling baharu, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu,” kata beliau.

Ronald berkata, keputusan penetapan harga siling mengambil kira dan di­selaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

Kenaikan harga

“Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

“Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Bantuan BKM melibatkan 8.6 juta penerima sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 tahun ini. Bantuan tersebut adalah tertinggi pernah diberikan kerajaan.

Februari lalu, kerajaan memutuskan pemberian subsidi ayam dan telur kepada penternak di seluruh negara melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM528.52 juta.

Pemberian subsidi itu melibatkan 60 sen bagi setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kilogram, selain pemberian subsidi sebanyak 5 sen bagi setiap biji untuk semua jenis kategori telur.

Bagaimanapun, subsidi itu dihentikan bermula 1 Julai ini kerana ramai penternak tidak membuat tuntutan dan pelbagai isu dibangkitkan.

Kerajaan menukar kaedah pemberian subsidi itu terus kepada rakyat yang memerlukan dengan peruntukan bantuan tunai tambahan BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta bagi Fasa 2.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya