Habis ratusan ribu ringgit demi Muay Thai

Habis ratusan ribu ringgit demi Muay Thai

ATHACHAI Saiprawat (kiri) menjalani latihan Muay Thai di Kelab Muay Thai Saiprawat di Kampung Teluk Epa, Kangar, Perlis, semalam. – FOTO/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Minat mendalam terhadap Muay Thai selain ingin menghidupkan sukan tersebut di negeri ini mendorong seorang lelaki menghabiskan ratusan ribu ringgit bagi mewujudkan gimnasium dan membiayai kos latihan anaknya serta anak-anak didik lain.

Kesungguhan Kiang, 47, itu bagaimanapun membuahkan hasil apabila berjaya melahirkan ramai bakat hebat dalam sukan tersebut, selain kejayaan anaknya, Athachai Saiprawat berusia 20 tahun membawa pulang pi­ngat gangsa menerusi acara kickboxing dalam Sukan SEA di Vietnam baru-baru ini.

Kiang Saiprawat juga adalah penga­sas dan penggerak Kelab Muay Thai Saiprawat yang terletak di Kampung Teluk Epa, di sini.

Athachai berkata, kos pembinaan ge­langgang dan gim untuk Muay Thai oleh bapanya itu sejak 2006 menelan belanja lebih RM100,000 termasuk kos pembe­lian peralatan senaman serta latihan untuk pelatih di kelab.

Katanya, bapanya pernah menghantarnya berlatih di Bangkok, Thailand selain ada membawa jurulatih luar mengajar dia dan rakan-rakan di kampung ini.

“Biarpun menggunakan beberapa pe­ralatan senaman yang dibuat sendiri dan hanya menjalani latihan rutin di sekitar kampung, ia langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus berlatih dan mencapai kejayaan dalam sukan ini,” katanya yang menceburi sukan Muay Thai sejak berusia enam tahun keti­ka ditemui di sin, semalam.

Terdahulu, Athachai menerima kunjungan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abdul Jalil yang menyampaikan plak penghargaan berikutan kejayaan anak muda itu.

Kelab Muay Thai Saiprawat yang terletak di dalam kampung itu menjadi lokasi latihan para pelatih atau biasanya dipanggil ‘nak muay’ yang berusia 12 tahun sehingga 30-an. Mereka juga aktif menyertai kejohanan domestik dan antarabangsa serta melahirkan beberapa juara dalam sukan berkenaan.

Sementara itu, Athachai yang juga pe­lajar diploma Kejuruteraan Mekatro­nik Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang bertanggungjawab memberinya peluang menimba penga­laman berharga di temasya Sukan Sea Vietnam baru-baru ini.

Tambahnya, pengalaman dan latihan diterimanya itu akan digunakan sepenuhnya untuk membantu skuad Muay Thai Perlis dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur, September ini.

“Saya menyasarkan memenangi pi­ngat dan berdiri di atas podium bagi mengharumkan nama Perlis pada temasya itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Asrul Nizan berkata, kerajaan negeri harus memberi perhatian kepada Kelab Muay Thai Saiprawat yang komited dalam pembangunan su­kan tersebut dan melahirkan atlet ber­kualiti tinggi.

Katanya, kerajaan juga boleh memajak kawasan tanah miliknya di lokasi strategik kepada kelab tersebut bagi membolehkan mereka mendirikan sebuah pusat latihan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Muay Thai sangat dekat di hati rakyat negeri ini dan berharap Perlis mampu memiliki sebuah stadium khas untuk tujuan pembangunan sukan berkenaan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya