Gangguan bekalan elektrik bongkar kegiatan perlombongan bitcoin  - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan elektrik bongkar kegiatan perlombongan bitcoin 

AHMAD Tazmin Mohd Noordin (kiri) bersama kakitangan TNB melihat mesin melombong bitcoin yang dijana menggunakan bekalan elektrik disambung secara haram di Kota Warisan, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Aduan daripada orang awam yang sering berhadapan dengan gangguan bekalan elektrik di Kota Warisan di sini akhirnya membawa kepada pembongkaran kegiatan melombong mata wang digital, bitcoin.

Bertindak atas aduan dan intipan yang dijalankan, Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini berjaya menyerbu empat buah premis rumah kedai yang dijadikan lubuk mesin bitcoin menerusi sebuah operasi yang dijalankan bermula pukul 10 pagi.

Timbalan Pengarah Unit Perancangan dan Penyelerasan Penguatkuasaan ST, Ahmad Tazmin Mohd. Noordin berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menjalankan operasi haram itu di antara bulan Disember tahun lalu sehingga Mei dengan jumlah kerugian yang ditanggung  Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekitar RM30,000 sebulan bagi setiap premis.

“TNB anggarkan jumlah kerugian yang ditanggung akibat kecurian elektrik secara haram itu kira-kira RM30,000 di setiap premis, jadi, jumlah keseluruhan bagi empat buah premis untuk tempoh enam bulan adalah sekitar RM720,000.

“Aktiviti kecurian elektrik oleh sindiket bitcoin ini bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam, malah, ia turut menjejaskan industri elektrik. 

“Oleh itu, kita sarankan kepada mana-mana pihak yang mendapati terdapat gangguan atau pemasangan secara haram dapat melaporkannya kepada TNB atau ST supaya ia dapat dihentikan terutamanya kepada pemilik yang menyewakan premis mereka,” katanya menerusi sidang akhbar selepas operasi serbuan di sini hari ini.

Jelas Ahmad Tazmin, seramai 50 anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama TNB, Majlis Perbandaran Sepang, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihati semua pemilik untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum menyewakan premis mereka terhadap mana-mana individu atau syarikat, selain bertanggungjawab memeriksa keadaan premis supaya tidak disalah guna.

Hal ini kerana, katanya, perlombongan bitcoin akan menimbulkan masalah gangguan berikutan aktiviti berkenaan menggunakan bekalan elektrik yang sangat tinggi.

“Operasi serbuan hari ini hanya melibatkan lokaliti Sepang tetapi kita akan terus pantau aduan serta lakukan intipan dari semasa ke semasa.

“Kita juga ingatkan kepada mana-mana individu supaya tidak mengganggu pemasangan meter elektrik milik utiliti dan terus laporkan kepada ST atau TNB sekiranya berlaku apa-apa kejanggalan pada meter atau terdapat sambungan haram,” ujarnya.

Tambahnya lagi, mana-mana pemilik premis yang didapati bersalah, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 37(1), Seksyen 37(3) atau Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447). –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN