Festival Bon Odori dibimbangi boleh membawa kepada syirik - Mufti Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Festival Bon Odori dibimbangi boleh membawa kepada syirik – Mufti Pulau Pinang

UMAT Islam dinasihatkan mengelak daripada terlibat dengan Festival Bon Odori kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Umat Islam perlu mengelak daripada terlibat dengan Festival Bon Odori kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, cara memperingati roh nenek moyang dengan menari, memuja roh mereka dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam malah dibimbangi akan terjatuh ke dalam dosa syirik kepada Allah SWT.

”Oleh kerana festival ini ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang, maka dibimbangi ia boleh membawa kepada syirik.

”Saya ingin menasihatkan umat Islam agar sentiasa memelihara kemurnian akidah Islamiah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival seperti ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program Festival Bon Odori mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Oleh itu Idris berkata, umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak menyertai program Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana mengandungi unsur agama lain.

Festival Bon Odori juga bakal dianjurkan di Pulau Pinang pada 30 Julai ini di Padang Kota Lama dan merupakan antara acara tahunan yang diadakan di negeri ini.

Festival Bon Odori yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confucian itu berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.

Menurut Wan Salim, di dalam Islam cara mengingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan bagi roh-roh mereka agar dirahmati Allah SWT serta diampunkan segala dosa mereka.

”Anak cucu juga disarankan supaya selalu membaca ayat-ayat suci dan bersedekah dengan diniatkan pahala segala amalan baik itu disampaikan kepada arwah ahli keluarga yang telah berpindah ke alam abadi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, festival Bon Odori yang telah dirancang pada 30 Julai ini akan tetap berlangsung seperti biasa dan diadakan sejak lebih 10 tahun lalu di Pulau Pinang.

”Saya memang rasa terkejut (kenyataan Idris mengenai Bon Odori) kerana program ini melibatkan kebudayaan dan bukan melibatkan unsur keagamaan serta tiada apa-apa unsur pemujaan atau sembahyang diadakan ketika festival berlangsung.

”Kita tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mahu datang ke festival ini kerana kita bukan ‘polis’ agama, kita juga tidak pernah gabungkan festival ini dengan apa-apa unsur agama,” katanya.

Tambah beliau, festival itu juga diadakan sebagai tanda persahabatan antara Malaysia dan Jepun serta dapat membantu merangsang ekonomi serta pelancongan di Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN