KUBANG PASU: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India bertindak menyamar sebagai kelindan treler untuk lolos memasuki negara ini sebelum mereka diberkas dalam Op Wawasan di Bukit Kayu Hitam di sini, Selasa lalu.
Suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 59 tahun dipercayai dari utara India itu ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) antara pukul 11.40 hingga 11.55 malam di Kilometer 1.1 Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di sini.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Shamsul Baharin Aman, turut ditahan empat pemandu treler berkenaan yang berusia 28 hingga 41 tahun.
Katanya, polis juga menahan seorang tekong berusia 40 tahun dipercayai menjadi dalang mengatur penyeludupan PATI tersebut dengan menawarkan upah hampir RM500 setiap orang kepada pemandu treler berkenan.
“Ini adalah modus operandi baharu PATI yang tidak lagi menggunakan lorong tikus tetapi menyamar sebagai kelindan treler. Pemandu treler berkenaan hanya perlu membawa PATI dari Danok, Thailand ke Changlun di sini yang jauhnya hanya tujuh kilometer (KM) dan mereka akan dapat upah RM500 bagi setiap orang.
“Taktik ini terbongkar apabila pemeriksaan lanjut ke atas treler berkenaan, mereka bukan sahaja tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah malah tidak fasih berbahasa Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, PATI berkenaan ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 sementara pemandu treler dan tekong pula mengikut Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
“Turut dirampas empat treler pelbagai jenis bernilai RM650,000 yang mempunyai pelbagai muatan barang runcit, buah-buahan serta sayur-sayuran bernilai RM312,000. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM962,000.
“PATI ini dipercayai cuba menyeludup ke negara ini untuk bekerja di restoran mamak dan kedai barang lusuh,” katanya.
Sehubungan dengan itu, tambah beliau, pihaknya akan mempergiatkan operasi untuk mengesan sebarang tindakan penyeludupan dan pemerdagangan orang di sempadan negara ini.
“Kita percaya lebih banyak PATI warga India ini akan cuba masuk ke Malaysia ekoran sektor ekonomi yang semakin pulih.
“Jadi mereka sanggup menggunakan jalan darat dari India dipercayai dari bahagian utara negara itu dengan melepasi beberapa negara untuk sampai ke sini,” katanya. – UTUSAN











