Empat termasuk tiga beranak ditahan edar dadah RM1.25 juta - Utusan Malaysia

Empat termasuk tiga beranak ditahan edar dadah RM1.25 juta

KAMARUL Zaman Mamat (dua kanan) menunjukkan dadah yang dibungkus dalam paket minuman sebelum dijual pada harga RM250 sebungkus dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi tiga sekeluarga dan seorang rakan selepas keempat-empat mereka ditahan dalam siri serbuan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini bermula 31 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang anak lelaki dan rakannya yang berusia 36 tahun, serta kedua ibu bapanya yang masing-masing berusia 70 dan 73 tahun.

Menurut beliau, tiga beranak itu ditahan di sebuah rumah di Taman Century pada pukul 3.30 petang kelmarin manakala seorang lagi suspek ditahan di Mount Austin pada pukul 5.50 petang, semalam.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.25 juta melibatkan 14.31 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 4.06 kg ketamin, 6,440 biji pil Eramin 5 dan 10,291 biji pil ekstasi. Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menjual dadah berkenaan di dalam bungkusan paket minuman yang dijual sehingga RM250 sepaket.

“Siasatan turut mendapati mereka mengedarkan dadah berkenaan bagi pasaran tempatan dengan menyasarkan kelab-kelab malam sekitar Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, taktik digunakan sindiket iaitu membungkus dadah berkenaan dalam bungkusan air minuman dipercayai bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sekali pandang, bungkusan berkenaan dilihat seperti bungkusan minuman air yang mungkin popular di luar negara, tetapi rupanya ianya telah diisi dengan dadah,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas empat buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai sebanyak RM41,093 dan beberapa barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM206,193.

“Jumlah dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 200,000 pengguna. Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman turut memberitahu, sejak 1 Januari hingga 31 Mei tahun ini, polis Johor telah menahan seramai 5,644 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan sebanyak 2.09 tan bernilai kira-kira RM7.62 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya