Duit KWSP, simpanan peribadi RM37,000 hangus ditipu - Utusan Malaysia

Duit KWSP, simpanan peribadi RM37,000 hangus ditipu

MOHD. SHOKRI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang pembantu kesihatan berputih mata  selepas  wang simpanan peribadi dan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM37,361 `hangus’ ditipu sindiket pekerjaan tidak wujud.

 Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, sebelum ditipu, wanita berusia 26 tahun itu  tertarik melihat iklan pekerjaan secara dalam talian di  Facebook. 

 Menurut beliau, mangsa kemudian menghubungi seorang individu memperkenal diri sebagai ‘Agnes’ kononnya  dari syarikat ‘SP eCommerce’. 

“Mangsa diberi penerangan untuk membeli pelbagai produk bagi tujuan menaikkan ‘rating’ dan akan mendapat imbuhan setelah barang tersebut dijual oleh mereka. Wanita tersebut  melakukan lapan transaksi ke empat akaun bank seperti diarahkan ‘Agnes’,” katanya di sini hari ini.

 Kata beliau, selepas tiga hari melakukan transaksi, mangsa mula mengesyaki dirinya diperdaya kerana  tidak mendapat apa yang dijanjikan.

 “Mangsa kemudian membuat laporan polis. Polis yang buat semakan menerusi laman sesawang semakmule.rmp.gov.my mendapati tiga laporan polis ke atas nombor akaun berkenaan dan dua laporan terhadap nombor telefon digunakan sindiket ke atas mangsa lain,” kata beliau. 

Mohd. Shokri memberitahu, modus  sindiket mengiklankan tawaran kerja ‘online’ yang kononnya mudah dan menguntungkan dalam masa singkat. 

Katanya, pada mulanya mangsa diberikan ganjaran dan setelah mereka yakin, sindiket akan meningkatkan jumlah pembelian sehingga mangsa terjerat. 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan memuat turun aplikasi Semak Mule Account bagi membuat semakan nombor akaun bank atau nombor telefon sebelum membuat sebarang urusan dalam talian. 

Masyarakat juga boleh mengikuti perkembangan terkini modus operandi sindiket jenayah komersial yang dikongsi di laman Facebook CyberCrimeAlertRMP atau JSJKPDRM atau JSJK Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya