Dua rakan tak mengaku tipu sarung tangan getah RM1j - Utusan Malaysia

Dua rakan tak mengaku tipu sarung tangan getah RM1j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua rakan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menipu seorang lelaki berhubung pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah membabitkan kerugian lebih RM1 juta pada tahun lepas.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor, 30, dan Mohd. Fami Sharin, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Wan Ahmad Farhaan dan Mohd. Fami didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob, 35, dengan memperdayakannya bahawa mereka akan mengedarkan 180,000 kotak sarung tangan getah.

Perkara itu mendorong Mohamad Faiz menyerahkan wang berjumlah RM1,001,650 secara dalam talian ke akaun bank atas nama Syarikat Tuntas Abadi Sdn. Bhd. yang merupakan milik Wan Ahmad Farhan.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada 17 Mac 2021 di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr. Ismail, Brickfields di sini.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak mencadangkan jaminan RM70,000 bagi setiap tertuduh namun peguam bela, David Dev Peter yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM8,000 atas alasan anak-anak guamnya penanggung tunggal keluarga serta tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Sabariah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya