Dua maut dilanggar lori ketika tukar tayar pancit - Utusan Malaysia

Dua maut dilanggar lori ketika tukar tayar pancit

KEADAAN mangsa selepas dilanggar sebuah lori ketika mahu menukar tayar di bahu jalan di di kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan, di Kuala Selangor, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan dua lelaki menukar tayar kereta di tepi jalan berakhir tragedi selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa termasuk seorang kakitangan Kementerian Kesihatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati kereta Proton Preve dinaiki penyelia Kementerian Kesihatan di Seremban, Negeri Sembilan yang berusia 55 tahun sebelum itu dipercayai pancit.

Katanya, kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 40 tahun kemudian datang ke lokasi kejadian untuk cuba membantu di tepi jalan.

“Tidak lama kemudian, sebuah lori dari arah Kuala Selangor dipercayai gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua lelaki itu. Kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Ramli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menambah, lokasi kemalangan merupakan jalan lurus dua lorong dan keadaan cuaca baik serta jalan rata.

Terdahulu, satu video berdurasi 15 saat tular di media sosial yang memaparkan mengenai kemalangan maut itu. Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta itu, lori berkenaan dipercayai melanggar sebuah kereta yang berada di bahagian titik buta di hadapannya menyebabkan lori itu dipercayai melanggar mangsa dan kemudian berhenti di bahu jalan sejurus selepas kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya