TAMPIN: Dijangkiti Covid-19 Februari lalu sehingga tidak dapat menduduki Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar, tidak mematahkan semangat Nurin Faqihah Fazli untuk meraih 9A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin itu, dia mengakui sedih tidak dapat bersama rakan-rakannya lain mengambil peperiksaan berkenaan mengikut tarikh sebenar, sebaliknya terpaksa pula mendudukinya secara berasingan.
“Kemudian, saya kuatkan semangat, buang segala perasaan sedih, dan rasa mudah letih akibat simptom positif Covid-19 serta tertekan dan menggunakan sebaik mungkin 10 hari kuarantin wajib di rumah dengan mengulang kali pelajaran.
“Walaupun hanya belajar di rumah, guru-guru memberikan tunjuk ajar secara dalam talian bagi membantu saya menguasai pembelajaran. Alhamdulillah, berkat usaha serta sokongan semua pihak saya mendapat keputusan semua A dalam sembilan mata pelajaran termasuk matematik tambahan yang mana pada peperiksaan percubaan SPM saya memperoleh gred E,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan SMK Tunku Besar Tampin, di sini hari ini.
Sementara itu ditanya mengenai ramuan kejayaan memperoleh keputusan cemerlang, Nurin Faqihah memaklumkan sikap menghormati guru serta ibu bapa yang sentiasa diamalkannya merupakan kunci sebenar kejayaannya itu.
Menurutnya, tanpa reda seorang guru atas didikan serta ilmu yang diberikan, seseorang pelajar akan sukar mendapat kejayaan.
“Ibu bapa juga perlu dihormati kerana dengan doa merekalah segala urusan kita berjalan dengan lancar. Sokongan ibu bapa yang turut sama menjalani kuarantin wajib walaupun tidak dijangkiti Covid-19 amat saya hargai kerana saya tahu mereka mahu melihat saya mencapai cita-cita saya,” katanya yang mahu bergelar seorang akauntan suatu hari nanti. – UTUSAN










