PETALING JAYA: Nasib 2,000 banduan akhir yang menunggu untuk digantung sampai mati perlu disemak semula ekoran pengumuman kerajaan memansuhkan hukuman tersebut.
Mereka berhak mendapat hukuman gantian yang boleh ditentukan oleh Lembaga Pengampunan berikutan keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan perlu memfailkan petisyen rayuan 2,000 banduan akhir kepada lembaga berkenaan kerana hukuman mati mandatori berhak diringankan seperti dijelaskan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Jelas beliau, pesalah terbabit berhak mendapat hukuman lain seperti penjara seumur hidup atau penjara sepanjang hayat dengan mengambil kira Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan semua rakyat Malaysia mendapat hak dan perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
“Walaupun petisyen rayuan pesalah pernah ditolak Lembaga Pengampunan, kerajaan boleh mewakili mereka untuk memfailkan petisyen supaya langkah kerajaan memansuhkan hukuman mandatori itu dilihat adil kepada rakyat.
“Oleh itu, kerajaan wajar mengambil kira pesalah yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori sekiranya mahu memansuhkan hukuman itu dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah seperti diputuskan kerajaan,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori yang membabitkan 11 kesalahan di negara ini dengan hukuman gantian yang tertakluk budi bicara mahkamah.
Keputusan itu menjadikan Malaysia negara ketiga ASEAN menghapuskan hukuman mati selepas Kemboja dan Filipina di samping menyertai 106 negara yang turut menghapuskan hukuman tersebut.
Terdapat 11 kesalahan membawa hukuman mati mandatori antaranya Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh), Seksyen 121A Kanun Keseksaan (Kesalahan-kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan hampir 2,000 pesalah yang ditangguh menjalani hukuman gantung ekoran pelaksanaan moratorium sejak 2018 tidak mengetahui penghujung nasib mereka apabila cadangan sebelum ini untuk mengkaji akta berkaitan sepi tanpa perkembangan terbaharu.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri menambah pemansuhan hukuman mati mandatori bukanlah bermaksud menghapuskan hukuman mati secara menyeluruh. Sebaliknya ia memberi pilihan kepada mahkamah untuk menentukan hukuman lain seperti penjara.
Jelasnya lagi, proses pemansuhan itu memerlukan masa kerana terdapat banyak akta yang memperuntukkan hukuman mati perlu dipinda menerusi proses Parlimen.
“Langkah memansuhkan ini wajar kerana memberi ruang kepada mahkamah untuk memberi hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah apabila hukuman mandatori mati tidak memberi pilihan kepada hakim memberikan hukuman lain berbanding hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Sementara itu, Wan Junaidi dalam kenyataan berkata kerajaan secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut iaitu menghapuskan hukuman mati mandatori.
Katanya, Jemaah Menteri bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.
“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian atau jabatan berkepentingan.
“Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip proportionality dan keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya.
Wan Junaidi memaklumkan kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.
Beliau menjelaskan menjelaskan bahawa keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambahbaik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik. –UTUSAN










