PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah membuat sitaan skuter elektrik terhadap mana-mana kenderaan mikromobiliti yang menjalankan aktiviti di jalan awam terutamanya di kawasan Dataran Merdeka.
Menurut DBKL, tindakan itu adalah bertepatan dengan arahan kerajaan iaitu tiada kebenaran diberikan kepada aktiviti skuter elektrik di atas jalan awam, kecuali di kawasan yang sudah diwartakan.
“Pada 4 Jun, pukul 8 hingga 10 malam tadi, anggota Penguat Kuasa DBKL yang membuat rondaan di lokasi telah menemukan aktiviti tanpa kebenaran ini dan bertindak melaksanakan sitaan terhadap dua buah skuter elektrik yang diletakkan di atas Jalan Raja bagi tujuan penyewaan untuk aktiviti ini.
“Tiada kebenaran dikeluarkan oleh DBKL di Dataran Merdeka bagi tujuan aktiviti permainan skuter ini. Anggota Penguat kuasa DBKL juga telah membuat laporan polis terhadap pengendali aktiviti skuter ini kerana telah menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.
“Skuter yang disita telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penggunaan skuter elektrik mula diperkenalkan pada Mei tahun lalu dan kini menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia memudahkan pergerakan khususnya mereka yang berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam.
Bagaimanapun bermula 1 Januari 2021, penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara adalah dilarang dan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar. – UTUSAN










