KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) sudah membuka kertas siasatan berkait isu kecurian balak yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang, pada awal bulan ini.
Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, sebaik sahaja siasatan itu selesai perkara tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, sebagai langkah awal JPNK telah menyita dua lesen dan mengeluarkan waran untuk memberhentikan kerja-kerja di kawasan tersebut.
“Tindakan ini ambil selepas JPNK mendapati ada pihak yang melanggar peraturan di bawah Akta Perhutanan Negara,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Ekspedisi Saintifik Pergunungan Loji Kelantan di The Grand Renai di sini hari ini.
Abdul Khalim memberitahu, mana-mana pihak yang mahu memasuki kawasan hutan perlu mendapatkan permit terlebih dahulu.
Katanya, jika ada pihak yang berbuat demikian JPNK akan mengambil tindakan segera dibawah peruntukan sedia ada.
“Tidak dinafikan kita juga ada menerima permohonan daripada pihak tertentu untuk memasuki kawasan itu tetapi tidak dibenarkan kerana ia masih dalam tindakan pihak JPNK,” ujarnya.
Sebelum itu Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa, memuat naik salinan laporan polis yang dibuat oleh pengawas hutan pada 2 Jun, jam 1.22 pagi berhubung kejadian tersebut.- UTUSAN










