KUANTAN: Seorang wanita yang nekad membunuh diri dengan terjun dari jambatan Tanjung Lumpur di sini berjaya diselamatkan sepasukan anggota penyelamat, awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan melalui sistem Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 kira-kira pukul 5.08 pagi.
Menurutnya, terdapat sebuah bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran ketika mangsa terjun dari jambatan tersebut sekitar pukul 5.17 pagi.
“Tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat telah meminta bantuan nelayan tersebut untuk membantu telah berjaya menyelamatkan mangsa dengan membawa ke tebing sungai.
“Mangsa seterusnya diberikan rawatan awal dan distabilkan oleh pasukan bomba. Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulfadli berkata, anggota penyelamat dari Balai Bomba Kuantan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan logistik menggunakan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Baktiar Iskandar Mohamad bersama sembilan anggota.
Operasi menyelamat itu ditamatkan kira-kira pukul 5.52 pagi tadi. – UTUSAN










