KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan untuk tidak hanya menumpukan individu yang memegang jawatan terutama di peringkat Bahagian untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan gabungan itu mesti membuat pembaharuan dengan produk-produk yang akan dipersembahkan.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kita telah buktikan semua saluran anak muda kembali mengundi calon BN. Ini hakikat dan mereka meletakkan harapan semula kepada BN dan UMNO sebab strategi yang kita persembahkan berbeza dengan PRU14.
“Kita lihat PRN Melaka, 87 peratus calon terdiri daripada muka-muka baru. PRN Johor 79 peratus muka baru.
“PRU15 insya-Allah mungkin (wajah baru). Saya tidak hanya meraikan pemegang-pemegang jawatan saja yang menjadi calon,” katanya ketika merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU 2.0) bertemakan ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’, Menara Dato Onn, di sini.
Spekulasi PRU15 semakin kuat dibincangkan apabila ramai pemerhati politik membayangkan ia dijangka berlangsung paling awal pada Oktober ini.
Jangkaan tersebut mengambil kira tiga faktor iaitu tarikh akhir penerbangan pulang jemaah haji Malaysia dari tanah suci pada 13 Ogos, sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September. – UTUSAN