‘Cadangan UMNO wujud Lembaga Unggas satu jenaka’

‘Cadangan UMNO wujud Lembaga Unggas satu jenaka’

PKR
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Mohd. Ramli menyifatkan syor Majlis Tertinggi (MT) UMNO supaya mewujudkan Lembaga Unggas bagi membantu rakyat sebagai cadangan jenaka. 

Katanya, kebimbangan mengenai kelangsungan makanan bukanlah perkara baharu apabila dunia pernah melalui krisis inflasi dan kekurangan bekalan makanan yang mendadak akibat peperangan dan konflik geopolitik dekad 1970-an dahulu.

Katanya, krisis bekalan makanan dan kenaikan kos mendadak yang dialami sekarang tidaklah banyak berbeza dengan yang pernah dilalui dalam dekad 1970-an dengan negara-negara yang lebih bersedia berjaya menangani gangguan sebegini tanpa menyebabkan kesengsaraan rakyat. 

Oleh itu, ujarnya, pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disifatkannya sebagai ‘Kerajaan Keluarga 69’ tidak boleh menyalahkan konflik antarabangsa untuk menutup kegagalan mereka.

“Kegagalan itu ditonjolkan sekali lagi semalam selepas Mesyuarat MT UMNO. Apa yang dihebohkan sebagai pengumuman besar yang akan membantu rakyat berakhir dengan satu pengumuman jenaka.

“Idea UMNO untuk menangani masalah kenaikan kos makanan dan sara hidup ialah dengan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Kebangsaan. Selepas ini apabila harga kambing pula naik, UMNO akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan. 

“Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut Mohd. Rafizi, sebagai jalan penyelesaian yang boleh dipertimbang, beliau mencadangkan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan memulakan langkah untuk melaksanakan dua dasar penting iaitu pelaksanaan dasar stok penimpal dan pelarasan dan penggabungan kementerian-kementerian dan agensi-agensi. 

Bagi pelaksanaan dasar stok penimpal, Mohd. Rafizi berkata, ia adalah konsep ekonomi yang telah teruji dan digunakan sejak krisis makanan dan kos sara hidup dekat 1970-an. 

“Dasar stok penimbal memberi kuasa dan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan peruntukan membeli dan menyimpan secara pukal bekalan makanan dan keperluan utama rakyat (termasuk petrol dan diesel). Simpanan pukal stok penimbal ini akan digunakan dengan disuntik ke pasaran apabila ada gangguan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak.

“Adanya stok penimbal yang boleh mengurangkan kesan kekurangan bekalan mendadak (yang berlaku kebelakangan ini) akan membolehkan kerajaan mengawal kenaikan mendadak harga barang-barang makanan dan keperluan asas.

“Oleh itu, saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Bekalan dan Kelangsungan Kebangsaan ditubuhkan sebagai badan bebas yang bertanggungjawab membina stok penimbal bagi tujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan makanan dan kenaikan mendadak harga makanan,” ujarnya.

Bagi pelarasan dan penggabungan kementerian-kementerian dan agensi-agensi, beliau berkata, perkara itu bagi mengelakkan karenah birokrasi dan kelemahan pelaksanaan dasar-dasar berhubung kelangsungan makanan dan kos sara hidup, keseluruhan struktur kementerian serta agensi yang bertanggungjawab perlu dirombak.

Katanya, ini kerana kuasa dan tanggungjawab yang menggubal, melaksana, menyelia dan menguatkuasakan dasar dan undang-undang yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan makanan sepatutnya dipusatkan di sebuah kementerian sahaja.

“Ini membolehkan perancangan menyeluruh bagi seluruh rantaian bekalan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila pertindihan-pertindihan kuasa (seperti yang berlaku sekarang) dihapuskan.

“Di bawah Kerajaan Keluarga 69 sekarang, kuasa dan tanggungjawab bersabit keseluruhan rantaian makanan dibahagikan kepada beberapa kementerian iaitu Kementerian Industri Asas Tani (bagi penghasilan sumber makanan); Kementerian Perusahaan Utama (bagi guna tanah untuk tujuan industri pertanian dan perladangan); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (bagi kawalan harga pengguna dan bekalan hiliran) dan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (bagi tujuan pelesenan perkilangan bahan-bahan makanan)

“Urusan mentadbir negara akhirnya dihabiskan dengan mesyuarat demi mesyuarat yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya kerana ada ramai menteri yang perlu membuat keputusan. Oleh kerana menteri-menteri lebih sibuk berpolitik (atau membuka parti baharu), keputusan-keputusan penting ini akhirnya tidak diambil,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menunggu maklum balas Kerajaan Persekutuan kepada idea-idea itu yang sepatutnya telah difikirkan dan dilaksanakan lebih awal.

“Jika keputusan sebegini telah diambil lebih awal, kita tidaklah menjadi bahan tertawa dunia apabila keseluruhan Jemaah Menteri tidak boleh menyelesaikan isu bekalan dan harga ayam yang bertukar-tukar keputusannya.

“Sementara itu, saya akan terus mengupas isu-isu bersabit kelangsungan makanan dan kenaikan kos sara hidup dalam siri digital yang disiarkan setiap beberapa hari. Kupasan saya yang seterusnya ialah untuk melonjakkan industri pertanian negara dan menghapuskan pergantungan kepada import makanan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya