KEMAMAN: Seorang buruh maut manakala isteri dan anaknya cedera dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 113, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran sempadan Dungun-Kemaman di sini malam tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 8.15 malam itu menyebabkan Mazlan Daud, 55, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Siti Mahanon Sh Ibrahim, 51, dan anak, Siti Sofrina, 12, mengalami patah tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Saga dipandu mangsa tiba-tiba memasuki lorong kanan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux dari arah bertentangan.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan kedua-dua kenderaan merempuh antara satu sama lain.
“Bagaimanapun, seorang lagi penumpang Proton Saga yang dikenali sebagai Nor Arina Jumaat, 29, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hanyan, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala isteri dan anaknya dirawat di Hospital Dungun.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










