Budak terlebih dadah dalam badan masih dirawat di hospital - Utusan Malaysia

Budak terlebih dadah dalam badan masih dirawat di hospital

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak kepada dadah. -FOTO ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang kritikal akibat  kandungan dadah dalam badan tinggi mengharapkan tindakan sepupunya yang dijatuhi  hukuman penjara tiga tahun menjadi pengajaran untuk lelaki itu dan orang lain.

Rohaya Hasan, 36, berkata,  perbuatan sepupunya yang berusia 32 tahun itu menyebabkan anak bongsu daripada empat beradik masih lemah selain belum boleh makan dan minum seperti biasa.

“Akibat perbuatan itu, sepupu saya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana kesalahan dan kecuaian yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Rohaya memberitahu, anaknya masih dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai tetapi tidak lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas  seorang peniaga pasar borong yang mengaku bersalah atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki OKU  dengan dadah jenis methamphetamine dan heroin kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Shahrizuan Alias, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin.

Dihukum

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan kepada Mohd. Shahrizuan yang tidak sepatutnya cuai dengan meletakkan sesuatu yang boleh membahayakan kanak-kanak sehingga mangsa mengalami ‘drug toxicity’

Menurutnya, hukuman itu mengambil kira kesalahan tertuduh yang mendedahkan mangsa  yang juga merupakan OKU kepada perkara berbahaya.

Mohd. Shahrizuan bagaimanapun, dalam rayuannya memohon hukuman ringan diberikan kepadanya kerana masih perlu menyara keluarga selain mempunyai dua orang anak kecil.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Jun lalu selain bon berkelakuan baik dan cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin selama tempoh tersebut.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani perintah khidmat masyarakat selama 180 jam.

Mengikut fakta kes, Hospital Gua Musang menerima seorang pesakit kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa oleh ibunya untuk dirawat pada 19 Jun lalu.

Ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan morfin yang dipercayai terlebih dos sehingga menyebabkan mangsa kritikal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya