Bon Odori: Selangor rujuk pihak berkuasa, pengkaji - Utusan Malaysia

Bon Odori: Selangor rujuk pihak berkuasa, pengkaji

AMIRUDIN Shari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan merujuk dengan pihak berkuasa dan pengkaji berkaitan isu penganjuran festival Bon Odori yang bakal diadakan di Kompleks Sukan Negara di sini, 16 Julai depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri meraikan dengan memberi ruang kepada agama lain untuk menyambut perayaan seperti Thaipusam dan Ponggal.

Kata beliau, Bon Odori itu diketahui sebagai semangat dasar pandang ke timur bagi mengeratkan hubungan syarikat dan individu yang terlibat dengan Jepun.

“Saya percaya hal itu juga hampir sama yang disambut seperti Pesta Ponggal yang merupakan hari kegembiraan masyarakat India. Jadi, saya tidak pasti ada elemen keagamaan atau tidak dan biar kita rujuk dengan pihak berkuasa atau badan pengkaji untuk penjelasan lanjut.

“Jika maklumat itu (isu) jitu, kita akan patuh kepada nasihat tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan umat Islam diingatkan tidak menyertai program yang bertentangan dengan hukum syarak Islam termasuk festival Bon Odori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.

Festival itu merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha yang mengandungi unsur pemujaan nenek moyang dan mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.

Tambah Amirudin, pihaknya sebelum ini turut mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan penganjuran festival itu.

“Selain itu, biar kedutaan Jepun memberi maklum balas mengenainya kerana acara berkenaan dianjurkan setiap tahun. Kita tidak menghalang dan menganggap ia sebagai aktiviti kebudayaan sebelum ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas isu Otai Reformis 1998 menentang cadangan kerajaan negeri membersihkan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan untuk membangunkan tanaman jagung bagi bekalan makanan ayam dan menjelaskan projek itu bukan hanya bermusim dan dijalankan dalam skala besar.

“Kita sememangnya memperoleh bekalan itu pada setiap tahun dan tidak bermusim. Tiada timbul isu penyahwartaan dan Otai Reformis perlu menyemak fakta sebelum ‘menyerang’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN