SEREMBAN: Pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) perlu mencari kata sepakat dalam hal memberi peluang kepada calon dalam kalangan parti gabungan itu (Friends of BN) bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mengakui terdapat sensitiviti dalam perkara terutama berhubung pembahagian kerusi namun jalan penyelesaian perlu diambil oleh BN.

“Ini terpulang kepada pucuk pimpinan BN untuk mempertimbangkan, kita harap dapat cari kata sepakat dalam hal ini.
“Saya sedar ada sensitiviti dalam soal pembahagian kerusi, kita cuba cari jalan permuafakatan antara kita, supaya objektifnya adalah BN mahu menang, itu sahaja,” katanya.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita dalam Program Santai Bersama Bossku anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia dan Team DSK di Nilai di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R.S Thanenthiran.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita mengulangi kenyataan bahawa BN pasti akan memberi peluang kepada Friends of BN sebagai calon dalam PRU15.
“Saya pasti akan beri peluang, di mana (kerusi), kita boleh bincang,” katanya ringkas. – UTUSAN










