Berlaku adil kepada restoran mamak - Utusan Malaysia

Berlaku adil kepada restoran mamak

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberi jaminan harga makanan berasaskan telur tidak dinaikkan susulan keputusan kerajaan mengawal harga dan subsidi telur ayam.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta orang ramai berlaku adil terhadap restoran mamak dengan tidak menularkan harga makanan yang didakwa sebagai mahal sedangkan tidak semua restoran mamak menaikkan harga.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, setakat ini restoran di bawah Presma berpegang kepada ketetapan untuk menaikkan harga makanan walaupun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah.

Menurut beliau, pihaknya tahu restoran yang dimaksudkan dan sememangnya restoran berkenaan menawarkan konsep restoran agak mewah dan lebih selesa seperti kedai kopi Barat.

“Kita pergi kopitiam moden, atau pergi kedai kopi Barat ternama, kita tak kritik pun harga makanan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam masa yang sama, pihaknya meminta penjelasan daripada pemilik sebuah restoran mamak di Cheras yang ditularkan mengenakan harga RM7.20 bagi sekeping roti telur dan segelas milo panas.

“Kritikan terhadap harga itu dilihat agak berat sebelah, sedangkan terdapat beberapa kopitiam yang setaraf dengannya juga mengenakan harga makanan dan minuman yang agak mahal, namun mengapa tiada yang mempersoalkannya?

“Mengenai dakwaan berlaku kenaikan harga makanan dan minuman di sebuah restoran mamak di Cheras yang menjual roti telur dan milo panas berharga RM7.20, yang itu Presma akan bercakap dengan tuan punya restoran,” katanya.

Beliau berkata, Presma juga sudah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membincangkan isu harga makanan yang dijual.

“Secara umumnya pada pihak restoran di bawah Presma, tiada kenaikan yang luar biasa. Malah memang saya pun sudah minta kerjasama daripada ahli-ahli persatuan, alhamdulillah sampai sekarang mereka memang masih beri kerjasama.

“Bagi pihak restoran mamak, ada ketika bekalan ayam yang dihantar sudah serupa saiz burung, kecil-kecil saiznya. Tapi saya percaya kerajaan akan ambil langkah mengatasi perkara ini.

“Dua minggu lepas juga kami sudah berjumpa Ketua Setiausaha KPDNHEP, nampaknya memang luar biasa respons positif pihak kerajaan. Mereka sedia mendengar luahan ahli industri,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Jawahar Ali berkata, isu kekurangan pekerja di restoran mamak sangat kritikal pada waktu ini, namun pihaknya sudah mula nampak ‘cahaya di hujung terowong’ apabila kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif bagi meleraikan kemelut itu.

“Dalam soal kekurangan pekerja di restoran mamak, perkara ini memang paling teruk dan sangat kritikal. Tapi alhamdulillah, sekarang ini kelulusan kemasukan pekerja asing sudah mula berjalan. Kita harap ada usaha memudah cara untuk bawa masuk pekerja asing.

“Sebab di pihak Presma, pilihan pertama pekerja kita mahu daripada kalangan warga tempatan. Tapi apabila warga tempatan masih tak berminat dengan sektor restoran mamak yang dianggap 3D (kotor, bahaya dan sukar), dan lazimnya orang akan kritik restoran mamak ini saja bagi alasan begitu begini, alasan kena kerja lebih masa semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN