Belgium, Belanda mungkin uji Speedy Tigers

Belgium, Belanda mungkin uji Speedy Tigers

hoki
SKUAD hoki Malaysia yang muncul naib juara Piala Asia di Jakarta, bulan lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jika pasukan hoki No. 1 dunia, Australia di­pilih untuk menguji Malaysia dalam persiapan menghadapi Piala Asia 2022, skuad No. 2 dan 3 dunia, Belanda pula dijangka menguji Speedy Tigers untuk menghadapi Piala Dunia tahun depan.

Selepas cemerlang muncul naib juara Piala Asia yang menutup kempen di Jakarta, Rabu lalu, skuad hoki negara kini mempersiapkan pasukan de­ngan misi layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Naib Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr. S. Shamala berkata, ketua jurulatih, Arul Selvaraj mahu me­ngenal pasti aspek-aspek yang perlu ditambah baik bagi memantapkan lagi pasukan.

Bagi memastikan persiapan berjalan baik, MHC akan me­rangka beberapa siri perlawanan persahabatan, termasuk kemungkinan menentang pasukan No.2 dan No.3 dunia, Belgium serta Belanda.

“Perlawanan persahabatan antarabangsa sangat membantu sebenarnya, lihat sahaja sebelum ke Piala Asia 2022, kita adakan pertemuan dengan pasukan No.1 dunia, Australia dan hasilnya, lihatlah skuad negara.

“Kita berjaya memperbaiki pelbagai aspek selepas perlawanan itu, jadi kemungkinan kita rancang untuk siri persahabatan antarabangsa yang seterusnya selepas Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada November ini.

“Berdasarkan prestasi semasa dan pelbagai aspek yang telah diperbaiki dalam pasukan, saya percaya Speedy Tigers berada di landasan terbaik untuk ke Olimpik Paris 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kali terakhir Malaysia tampil di Sukan Olimpik ialah pada edisi Sydney 2000, dan pada 2018 Malaysia terlepas peluang layak secara automatik ke Olimpik ­Tokyo sebagai juara benua apabila tewas Jepun pada final Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Ditanya sama ada penangguhan Sukan Asia akan menyebabkan pasukan hoki negara hilang momentum, Shamala sebaliknya berkata, ia sebenarnya lebih baik kerana memberikan masa lebih banyak kepada pasukan membuat persiapan.

“Berdasarkan kriteria kelayakan, tuan rumah Perancis dan lima juara benua (Sukan Asia untuk wilayah ini) akan mendapat slot automatik ke Olimpik.

“Enam belas pasukan kemudian akan bersaing untuk merebut baki enam tempat menerusi kejohanan yang diumumkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN