Tidak sempat jual durian ditanam secara haram 

Tidak sempat jual durian ditanam secara haram 

DURIAN dirampas daripada seorang pekebun yang dipercayai ditanam secara haram di Hutan Simpan Gunung Benum di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pekebun durian berputih mata apabila tidak sempat meraih keuntungan menjual durian musang king dan D24 yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Gunung Benum di Raub, dekat sini kerana ditahan pihak berkuasa semalam.

Lelaki berusia 48 tahun yang memandu trak pikap dengan membawa 919 kilogram durian jenis musang king dan D24 bernilai kira-kira RM5,000 itu ditahan pihak berkuasa yang melakukan rondaan kira-kira pukul 7 pagi.  

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati pokok durian itu berada dalam Kompartmen 91 Hutan Simpan Gunung Benum dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

 Katanya, jabatan bertindak tegas dengan menyita kenderaan termasuk durian sebelum tindakan seterusnya dilakukan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh hutan simpan.

“Lelaki yang ditahan itu kemudian dibebaskan apabila mendapat jaminan polis selepas keterangan diambil. 

“Pegawai penyiasat JPNP akan melakukan siasatan seterusnya sebelum tindakan undang-undang diambil kerana mengeluarkan hasil hutan tanpa kebenaran,” katanya hari ini.

Zainuddin berkata, Hutan Simpan Gunung Benum menjadi kawasan tanaman durian termasuk pokok buah-buahan seperti manggis, rambutan serta petai dan kantan secara haram.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya melakukan operasi sejak 21 Julai lalu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela serta Pejabat Daerah dan Tanah Raub dilancarkan.

Menurutnya, lebih 40 kakitangan JPNP yang bergabung dengan agensi terbabit dalam operasi bersepadu kali ini menumpukan rondaan dan tindakan di Hutan Simpan Gunung Benum yang dilakukan secara berterusan selama 60 hari. 

Kata beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan individu yang terbabit dengan penerokaan Hutan Simpan Gunung Benum secara haram dan mereka yang bersalah boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh.

“Jabatan berharap mereka yang tinggal berhampiran hutan simpan di negeri ini supaya tidak memindah hasil hutan dan melakukan apa juga aktiviti dalam kawasan hutan terbabit bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. 

 “Anggota unit penguatkuasa pejabat hutan daerah sentiasa melakukan rondaan di kawasan panas dalam kawasan hutan simpan di negeri ini, selain melakukan aktiviti pertanian terdapat juga pihak yang beriadah. Untuk masuk ke dalam hutan simpan memerlukan permit atau kebenaran jabatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN