PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) memberi jaminan bahawa bekalan ayam pulih dalam tempoh sebulan.
Katanya, ini berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang menunjukkan pemulihan positif dalam pengeluaran hampir tiga peratus selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
Malah, terdapat peningkatan 1.16 peratus dalam pengeluaran dari 2021 hingga 2022 dan peningkatan 2.98 peratus dalam pengeluaran daripada 2021.
“Sepanjang 15 tahun yang lalu, pertumbuhan pengeluaran ayam pedaging secara purata adalah sekitar 5 peratus setiap tahun. Hanya terdapat penurunan pengeluaran pada tahun 2019 dan 2020 disebabkan oleh pandemik Covid-19.
“Data menunjukkan bahawa pengeluaran telah pun pulih pada tahun 2021 dan meningkat pada tahun 2022. Oleh itu pengeluaran ayam kini dalam pemulihan dan bekalan semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, permintaan terhadap ayam melonjak dengan cepat selepas pemulihan daripada pandemik.
Ini kerana, katanya, peningkatan pengeluaran mengambil masa kerana ladang perlu memulakan penternakan ayam pedaging daripada anak ayam, menyebabkan kadar permintaan yang tinggi selepas wabak tidak dijangka.
“Lonjakan permintaan yang tidak seimbang ini menimbulkan kesan kekurangan walaupun pengeluaran meningkat.
“Berikutan momentum pemulihan pengeluaran, kami menjangkakan jurang bekalan-permintaan akhirnya akan pulih dan bekalan sepatutnya memenuhi permintaan dalam masa sebulan,” katanya.
Selain itu, katanya, industri ternakan ayam juga dibebani oleh kekurangan tenaga buruh.
“Kos bahan mentah makanan ayam yang diimport juga telah meningkat sekurang-kurangnya 40 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan harganya tidak turun.
“Oleh yang demikian, industri ternakan ayam menghadapi peningkatan kos pengeluaran. Kami yakin masalah bekalan ayam akan dapat diselesaikan dan mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya. – UTUSAN